SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI telah menyumbang sebanyak 400 pek makanan berbuka puasa kepada Sinar Harian sempena Program Iftar Madinah @ Karangkraf yang dianjurkan sejak 4 April lalu.
Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Ketua Komunikasi Korporat MBI, Mohd Ramali Abu Bakar berkata, sepanjang Ramadan ini, pihaknya mengagihkan sebanyak 1,000 pek makanan berlauk setiap hari di beberapa lokasi terpilih.
Menurutnya, sumbangan tersebut bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan di samping berkongsi rezeki kepada orang ramai.
"Sebanyak 400 pek makanan kita agihkan di beberapa tempat, antaranya di institusi-institusi pendidikan, pejabat kerajaan, balai polis dan juga bomba. Pada minggu ini kita agihkan pula kepada rakan-rakan media.
"Justeru, diharap sumbangan kami ini juga dapat membantu mereka yang tidak berkesempatan berbuka puasa di rumah, selain membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Ramali turut berharap badan-badan korporat yang lain dapat bersama-sama berganding bahu mengimarahkan lagi bulan Ramadan ini.
"Bukan sahaja pada tahun ini tetapi pada tahun-tahun akan datang. Dalam hadis pun ada disebut, bagi mereka yang menyumbang juadah berbuka puasa, pahalanya adalah sama dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka,” ujarnya.