SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM18,100 dan nilai rampasan barang kes berjumlah RM811,717 menerusi Ops Pantau yang bermula pada 3 hingga 15 April lalu.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdulah berkata, sebanyak 51 kes dicatatkan sepanjang tempoh tersebut melibatkan 29 kesalahan harga, timbang sukat (14), bekalan (tujuh) dan satu kes melibatkan status halal manakala tujuh premis diberikan notis amaran.
"Lokasi tumpuan di bawah Ops Pantau meliputi bazar Ramadan, bazar raya, pasar awam/basah/pagi, pasar raya terpilih, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.
"Fokus pemantauan melibatkan aspek harga, bekalan, aktiviti jualan murah, alat timbang, barangan tiruan/cetak rompak, penggunaan perbahasaan halal, dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022 yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Muhamad Zikril Azan bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengguna Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Ketua Penguat Kuasa Negeri Aminuddin Muhammad turut turun padang untuk memantau keadaan di bazar Ramadan Seksyen 13 di Stadium Shah Alam di sini.
Beliau berkata, pemeriksaan tersebut menyasarkan premis jualan di bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa, seperti kuih muih dan makanan sedia masak.
"Perhatian diberikan terhadap pematuhan penandaan harga oleh penjual bazar bagi memastikan pengguna yang mengunjungi bazar mendapat maklumat harga yang jelas dan dapat membuat penilaian serta keputusan pembelian.
"Hasil pemantauan menunjukkan tahap pematuhan peniaga bazar di Stadium Shah Alam adalah memuaskan dan dalam kategori pemerhatian yang rapi," ujarnya.