JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan bertemu Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada Selasa.
Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince Of Johor pada Isnin, baginda bertitah, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan kes remaja orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Selain itu, menerusi pertemuan terbabit juga, baginda akan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan kes seumpama itu tidak lagi berlaku.
"Esok saya akan berjumpa dengan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun untuk membincangkan isu kes Bella dan mendapatkan taklimat terkini mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk memastikan kes sebegini tidak lagi berlaku," titah baginda.
Pada Ahad, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella.
Tunku Ismail menegaskan, akan menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung tawaran itu.
Tawaran tersebut susulan isteri beliau, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam dilapor sedia membantu Bella mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu remaja OKU itu.
Perbicaraan kes itu turut mendapat perhatian dan menjadi perdebatan bagi rakyat yang melihat seolah-olah nasib Bella seperti tidak diperjuangkan sedangkan remaja berusia 13 tahun itu merupakan seorang OKU dan telah menerima penganiayaan.
Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.