SHAH ALAM - Ramai didakwa tidak tahu mengenai Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan Skim Mikrokredit Selangor.
Calon Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) sesi penggal 2022/2025, Rodziah Ismail berkata, beberapa orang tidak perasan bahawa itu adalah usaha yang telah dilaksanakan.
"Dalam Jelajah Kempen 'Yakini Rakyat' di Selangor semalam, saya kongsikan kisah di sebalik i-Suri dan (Skim) Mikrokredit Selangor agar kita membuka mata terhadap apa yang kita semua perlu dan mampu laksanakan.
"Masalahnya kita sudah terjemahkan dalam banyak perkara namun ramai orang tidak perasan itu adalah usaha yang kita buat," katanya dalam ucapan sempena Jelajah Kempen 'Yakini Rakyat' dikongsi di laman Facebooknya, pada Isnin.
I-Suri dilancarkan pada 2018 dan pendaftarannya dibuka selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan Insentif Suri Rumah di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di ibu negara empat tahun lalu ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu, ia diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan sehingga benar-benar dirasai rakyat.
"Akhirnya i-Suri diterima-pakai pada dasar negara kita dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengguna pakai caruman RM10 (sebulan).
"Kita akan bantu wanita supaya mereka ada caruman sendiri. Ini peranan sepatutnya dimainkan oleh pimpinan-pimpinan yang diberikan mandat dalam kerajaan," katanya yang merupakan antara pengerak pelaksanaan i-Suri ketika negara di bawah pemerintahan PH.
Beliau berkata, kerajaan Selangor berperanan mengambil pendekatan sedemikian secara berterusan dengan membawa perubahan kepada pentadbiran negeri.