PEMAIN berpengalaman skuad bola keranjang wanita negara, Nur Izzati Yaakob berazam membantu Malaysia menebus kekecewaan edisi lepas dengan sasaran meraih pingat pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam yang dijadual bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Nur Izzati yang bakal membuat penampilan kelima Sukan SEA di Hanoi mengakui tiada alasan untuk skuad wanita negara tidak membawa pulang pingat dalam acara 5x5 buat kali kedua berturut-turut selepas gagal pada edisi 2019 di Filipina.
Meskipun sasaran diletakkan adalah pingat gangsa, pemain berusia 33 tahun itu berkata, beliau dan rakan sepasukan enggan turun bertanding semata-mata mahu mendapatkan gangsa, sebaliknya mahu memberikan yang terbaik bagi mencabar kilauan emas.
"Sudah pasti tahun ini, kalau boleh nak dapatkan balik pingat, tidak kira warna apa sekali pun kerana kita sudah merasai kekecewaan (edisi 2019) lepas.
"Di Filipina kita tak dapat sebarang pingat, jadi saya harap saya boleh bantu pasukan memenangi satu pingat tak kira gangsa, perak atau pun emas," katanya pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil pada Isnin.
Pada masa sama, Nur Izzati berkata, cabaran terbesar dihadapi skuad negara di Hanoi adalah terpaksa bersaing dengan pemain naturalisasi yang dipanggil untuk memperkuatkan pasukan lawan.
"Boleh dikatakan setiap negara (bertanding) ada pemain naturalisasi, sekurang-kurangnya seorang. Apa-apa pun kami akan buat yang terbaik dan ketika ini kami masih lagi sedang memperkuatkan keseluruhan skuad," katanya yang hanya akan beraksi dalam acara 5x5 wanita.
Sepanjang mewakili Malaysia dalam acara 5x5 wanita di Sukan SEA, Nur Izzati sudah memenangi dua pingat emas masing-masing pada edisi 2015 di Singapura dan Kuala Lumpur 2017 selain dua gangsa yang diraih pada edisi 2011 di Indonesia dan 2013 di Myanmar.
Sementara itu, Penolong Pengurus Skuad Bola Keranjang negara, Tan Seok Ling berkata, selain menetapkan sasaran gangsa dalam acara 5x5 wanita, Malaysia turut menyasarkan pingat perak dalam acara 3x3 wanita selepas skuad itu berjaya menyumbangkan gangsa pada edisi 2019.
Seok Ling berkata dalam kategori lelaki, pingat gangsa diharap mampu diraih menerusi acara 3x3 sementara menyasarkan skuad 5x5 mampu melangkah ke saingan separuh akhir. - Bernama