Datasonic ceriakan asnaf sempena Ramadan

Iklan
Safian (berdiri (kanan) beramah mesra dengan anak-anak asnaf Asrama Darul Falah (ASDAF) selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Isnin. -Foto Rosli Talib

KUALA LUMPUR - Datasonic Group Berhad (Datasonic) mengambil kesempatan bersempena keberkatan bulan Ramadan tahun ini untuk menceriakan 55 anak-anak asnaf Asrama Darul Falah (ASDAF) pada Majlis Iftar Ramadannya.

Selain daripada jamuan berbuka puasa, anak-anak Orang Asli itu turut menerima sumbangan duit raya sebanyak RM50 seorang daripada pihak Datasonic.

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutif Kumpulan Datasonic, Safian Mohd Yunus berkata, Majlis Iftar Datasonic yang julung kali diadakan itu bertujuan meraikan anak-anak asnaf dan rakan-rakan media.

Menurutnya, sejak awal tahun ini Datasonic telah menyantuni anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi beberapa program dan sumbangan seperti Program Kembali ke Sekolah dan sumbangan bagi penyelenggaraan infrastruktur asrama.

Iklan

"Majlis iftar ini juga termasuk dalam usaha kami untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dalam bulan Ramadan yang mulia ini lebih-lebih lagi dengan Syawal yang bakal menjelang.

"Tinggi harapan kami agar segala usaha ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban mereka," katanya pada majlis itu yang diadakan di Hotel Intercontinental pada Isnin.

Iklan
Safian (berdiri tengah) bergambar bersama-sama anak-anak asnaf Asrama Darul Falah (ASDAF) selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya yang diadakan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada Isnin. -Foto Rosli Talib

Hadir sama, Pengerusi ASDAF, Abdul Halim Mohamed dan ahli jawatankuasa pentadbiran.

ASDAF yang ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 di Bukit Persekutuan, di sini, merupakan fasiliti khas menempatkan dan menjaga anak-anak Orang Asli di peringkat menengah bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.

Buat masa ini ASDAF menempatkan 55 pelajar dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dengan majoriti daripada mereka datang dari golongan susah dan anak yatim.

Pada majlis itu, tazkirah Ramadan turut disampaikan pendakwah, Sheikh Hussein Yee yang juga Presiden Pertubuhan Al-Khaadem dan majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah.

Mengulas lanjut, katanya, Datasonic turut menjadikan ASDAF sebagai sekolah angkat syarikat itu untuk tahun ini.

Ujarnya, pihaknya turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada ASDAF baru-baru ini untuk baik pulih asrama itu dan sebagai sumbangan untuk melaksanakan aktiviti.