KELAB sensasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan momentum positif saingan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 apabila mengatasi Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.
Harimau Selatan pimpinan Benjamin Mora yang tampil dengan aura kemenangan 5-0 ke atas Guangzhou sebelum ini bermula garang sebaik bertiup wisel babak pertama.
Kegarangan Harimau Selatan dijelmakan menerusi tonggak import berbisanya Fernando Forestieri apabila bijak menterjemahkan hantaran Corbin-Ong dalam bentuk jaringan seawal minit ketiga yang ternyata mengelirukan penjaga gol Jo Hyeon-woo.
Jaringan Forestieri itu kekal sehingga kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan walaupun The Tigers melakukan beberapa percubaan untuk kembali semula ke dalam perlawanan sehingga berakhirnya 45 minit pertama yang diwarnai aksi berintensiti tinggi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua pengendali Ulsan, Hong Myung-bo kembali memperkemaskan bahagian jentera depan The Tigers.
Hasilnya, bintang muda Ulsan, Um Won-sang berusia 23 tahun yang masuk pada minit ke-46' bagi mengantikan Yun Il-Lok membalas kepercayaan Myung-bo apabila merembat gol penyamaan pada minit ke-52' selepas menterjemahkan hantaran Seol Young-woo.
Gol penyamaan itu ternyata tidak mengendurkan semangat juang para pemain tuan rumah, sebaliknya angkatan Mora kembali menyusun semula rentak dan tenang mencari gol pendahuluan.
Gol dicari Harimau Selatan akhirnya hadir menerusi penggempur berbisanya, Bergson da Silva, pada minit ke-80 selepas menyudahkan sentuhan daripada Safawi Rashid.
Kemenangan itu membolehkan Harimau Selatan mengekalkan penguasaan peneraju Kumpulan I dengan enam mata sambil diekori rapat Kawasaki Frontale dengan empat mata.
Kawasaki Frontale sebelum itu melaungkan amaran awal kebangkitan dalam saingan tertinggi kelab Asia itu apabila membelasah Guangzhou 8-0 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.