Beratur beli ayam tempayan naga

Iklan
Orang ramai akan beratur hendak beli ayam tempayan naga mulai jam 3 petang.

KUANTAN - Idea kreatif pasangan suami isteri untuk berniaga ayam tempayan naga memberi hasil lumayan apabila 80 ekor ayam panggang terjual sehari.

Peniaga, Izyan Sulaiman, 36, bersama pasangannya, Adeb Hilman Alyatullah, 35, berkata, mereka tidak menyangka idea untuk jual ayam panggang dalam tempayan naga diterima sehingga menyebabkan tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, resipi menghasilkan ayam panggang itu diubah suai mengikut cita rasa ahli keluarganya menjadi kesukaan pengunjung di bazar Ramadan Koperasi lama Permatang Badak di sini.

"Juadah ini, kami tidak jual pada hari-hari biasa, sebaliknya hanya muncul bila tibanya Ramadan dan ia menjadi juadah istimewa buat penggemar ayam panggang.

Iklan

"Setiap hari kami menjual lebih 80 ekor ayam yang dibakar selama 30 minit dalam tempayan besar yang dicampur ramuan istimewa," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Koperasi lama Permatang Badak pada Isnin.

Sebelum itu, Izyan memberitahu aktiviti penjualan ayam tempayan naga bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020 selepas tidak mendapat sebarang tempahan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Iklan

"Masa PKP datang idea untuk usaha perniagaan ayam panggang ini, tetapi masa itu kami buat di rumah dan penghantaran dari rumah ke rumah (COD) dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran (runner).

Aded Hilman menunjukkan ayam tempayan naga yang hanya dijual pada bulan Ramadan.

"Pada tahun lalu, kami cuba berniaga di bazar Ramadan dan tahun ini diteruskan lagi susulan mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat," ujarnya.

Dia yang juga perunding perkahwinan berkata, idea menamakan ayam tempayan naga disebabkan corak naga pada tempayan yang diperolehnya dari Thailand.

"Ayam ini kami ibaratkan bakar dalam mulut naga yang berapi," katanya yang memiliki empat tempayan yang dibeli khas.

Sementara itu, Adeb Hilman berkata, perbezaan ayam panggang buatannya berbanding dengan ayam golek lain adalah cara memasaknya di dalam tempayan.

Ayam tempayan naga diperap selama enam jam sebelum dibakar dalam tempayan.

Jelasnya, teknik memasak menerusi tempayan itu menghasilkan tekstur ayam bakar yang garing di luar lembut di dalam.

Katanya, setiap ayam akan diperap selama enam dengan rempah ratus yang dibuat sendiri sebelum dibakar dalam tempayan bermula sekitar jam 1 tengah hari setiap hari.

"Orang ramai akan beratur beli ayam tempayan ini mulai jam 3 petang dan ada pelanggan tetap membuat pesanan awal bagi mengelak kehabisan," ujarnya.