42 individu ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan

Iklan
Anggota polis trafik memeriksa penunggang motosikal dalam Operasi Khas Samseng Jalanan. Foto JSPT Johor

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 42 individu atas pelbagai kesalahan trafik dan dadah serta mengeluarkan 2,350 saman trafik dalam Op Khas Samseng Jalanan bermula pada 9 April hingga Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Superintendan M Kumarasan berkata, operasi khas itu bagi membendung masalah 'mat rempit'.

Iklan
Iklan

"Kesemua suspek berusia antara 14 dan 53 tahun ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sebanyak 2,350 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah pemeriksaan individu seramai 12,815 orang dan 10,035 kenderaan serta 3,723 motosikal.

Iklan

"Sebanyak 208 kenderaan pula disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurut Kumarasan, operasi terbabit akan diteruskan bagi memastikan budaya 'mat rempit' dapat dikekang.

Iklan

"Mat rempit ini sangat sinonim dengan aktiviti melepak, berkonvoi, mengubah suai motosikal dan berani melakukan aksi-aksi bahaya seperti lumba haram, 'wheelie', 'superman' dan lain-lain aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Menjadi kebanggaan dalam kalangan mereka apabila berjaya melakukan aksi-aksi tersebut untuk dimuat naik di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram," katanya.

Operasi itu melibatkan pegawai dan anggota trafik, jenayah, narkotik, Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Pasukan Unit Peronda Polis (MPV),Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dan balai-balai.

Ia turut dijalankan di lebuh raya bersama polis peronda lebuh raya (EMPV) JSPT Bukit Aman.