MTAABS agih baju raya percuma sempena Aidilfitri

Iklan
Sukarelawan Uniten membantu memilih pakaian yang dikumpul melalui Projek Baju Raya Percuma 2.0 sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan, pada Ahad lalu.

MUADZAM SHAH - Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) di sini mengagihkan pakaian raya percuma bagi membantu golongan memerlukan sempena Aidilfitri ini.

Pengarah Program, Muhammad Nurikram Mohamed Salim berkata, proses pengumpulan pakaian melalui Projek Baju Raya Percuma 2.0 dengan kerjasama Unit Bahasa dan Sains Sosial Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Muadzam Shah itu bermula sejak awal Ramadan dan berakhir pada 14 April lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pakaian baharu dan terpakai yang dikumpulkan dipilih terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna dan sesuai dipakai pada hari raya.

"Tujuan utama projek ini bagi meringankan beban golongan sasar menyediakan persiapan hari raya.

Iklan

"Ia juga sebagai platform menggalakkan masyarakat umum berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan golongan kurang bernasib baik," katanya.

Muhamad Nurikram berkata, program agihan pakaian itu diadakan di MTAABS bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad lalu.

Iklan

"Alhamdulillah pakaian yang dikumpul telah diagihkan kepada golongan sasaran.

"Memandangkan MTAABS adalah masjid musafir, jemaah musafir turut sama menjayakannya dan mendapat manfaat daripada pakaian yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid, Dr Khairulnizam Mat Karim berkata, program kebajikan itu salah satu daripada 13 inisiatif MTAABS dalam Perancangan Strategik Masjid 2018-2022.

"Inisiatif itu antaranya menjadikan MTAABS sebagai pusat kebajikan setempat di bawah konsep 'MTAABS Prihatin'.

"Projek ini merupakan kali kedua diadakan selepas pertama kali diadakan pada 2019," katanya.

Dr Khairulnizam berkata, projek itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama para penyumbang dan barisan sukarelawan dalam kalangan pelajar Uniten Muadzam Shah yang banyak membantu.

"Rata-rata penerima bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan pakaian raya yang dihulurkan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam menyediakan persediaan menjelang Aidilfitri," katanya.