Lelaki mabuk beri alasan dirompak sebelum samun

Iklan
Polis sedang memburu seorang lelaki yang menyamun sebuah premis serbaneka di Taman Sentosa, Klang pada Ahad lalu.
KLANG - Seorang pekerja kedai serbaneka di Taman Sentosa di sini berdepan detik cemas selepas diugut penjenayah mabuk yang melakukan samun pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian pada jam 12.08 tengah hari itu berlaku semasa remaja perempuan berusia 19 tahun berkenaan berada di kaunter premis terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian lelaki itu datang dalam keadaan mabuk meminta wang dengan alasan dirinya dirompak sebelum mengeluarkan senjata gergaji kecil dan mengacukan kepada mangsa.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang takut diapa-apakan telah membuka laci simpanan duit sebelum suspek mengambilnya dan melarikan diri. Kerugian dianggarkan berjumlah RM235.15.

"Semasa kejadian mangsa sedang bekerja seorang diri di dalam premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati, suspek dalam keadaan berbau arak yang kuat disyaki mabuk.

"Usaha memburu suspek warga tempatan itu giat dijalankan. Suspek mempunyai susuk tubuh tinggi dan sedikit berisi, berbaju kemeja warna putih, berseluar slack panjang hitam serta berkasut putih.

Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk salurkan kepada pihak polis," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.