SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya kitab suci al-Quran.
Baginda bertitah, al-Quran bukan sahaja untuk dibaca bahkan ia perlu difahami dan dihayati kerana di dalamnya terkandung banyak khazanah ilmu yang sangat bernilai selain dapat diperoleh dengan cara mentadabbur atau memahami ayat-ayatnya.
Iklan
Iklan
"Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia," titah baginda sempena memperingati Hari Nuzul Al-Quran menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office pada Selasa.
Menurut Sultan Sharafuddin, telah terbukti al-Quran dapat menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku termasuklah pada peringkat pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, pembinaan sosial juga kelestarian budaya.
Titah baginda, al-Quran merupakan tunjang dan dasar dalam memastikan setiap tindakan dipasak dengan nilai agama.
Justeru baginda bertitah, setiap umat Islam di negeri ini diingatkan sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan mengambil pengajaran daripada isi kandungannya.
"Kitab suci ini juga telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan manusia seluruhnya," titah Sultan Sharafuddin.