TANJUNG MALIM - Seorang pemandu lori maut akibat tercampak ke bahagian cermin hadapan selepas kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 381.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Slim River di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi itu, M Mohan, 67, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori muatan cat itu pecah menyebabkan kenderaan berat terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar lereng bukit.
Keadaan itu mengakibatkan mangsa terhumban dan terkena cermin pandang hadapan.
Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 8.39 pagi membabitkan sebuah lori muatan tiga tan yang terbabas.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Slim River yang tiba di lokasi mendapati pemandu lori berkenaan tersepit manakala kelindan terselamat.
"Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi tamat pada jam 9.34 pagi.