KUALA NERANG - Tidak pernah makan makanan segera dan makan tidak bersulam minum air antara amalan seorang bekas guru seni silat pulut di Kampung Barokhas, Kuala Nerang yang mendakwa kini telah berusia 106 tahun.
Mat Piah Musa ketika ditemui berkata, selain menjaga pemakanan, beliau juga turut memberi penekanan kepada senaman yang diamalkan sejak muda lagi agar badannya sentiasa berpeluh.
Menurutnya, antara aktiviti yang masih mampu dilakukan hari ini adalah membersihkan sekitar rumahnya seperti mencangkul dan menyapu halaman rumah.
"Saya juga selalu berjalan ke rumah anak sejauh kira-kira 100 meter dari rumah saya jika memerlukan apa-apa. Saya perlu buat sesuatu seperti bersenam dan berjalan agar badan sentiasa sihat.
"Saya masih mampu memasak nasi, manakala lauk-pauk pula akan dihantar oleh anak atau cucu yang datang ke rumah setiap hari," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Barokhas baru-baru ini.
Mat Piah yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak 13 kali berkata, tarikh lahir di kad pengenalannya pada tahun 1924 yang kini berusia 98 tahun didakwa didaftarkan lewat berbanding tahun kelahiran sebenarnya.
Jelasnya, pada waktu dahulu ramai ibu bapa yang lewat mendaftar anak-anak mereka kerana tidak mempunyai kenderaan selain jarak rumah untuk ke pekan yang jauh.
Sementara itu, anak Mat Piah dari isteri ke-10, Siti Asiah, 63, berkata, kesihatan bapanya sedikit uzur selain mempunyai masalah pendengaran, namun masih mampu menguruskan diri sendiri.
Menurut Siti Asiah, bapanya selalu menegur anak dan cucunya agar memberi penekanan kepada aspek pemakanan dan menjaga kesihatan.
"Ayah selalu mengingatkan kami sekeluarga agar tidak makan bersulam minum air kerana mampu memberi kesan dan melemahkan anggota badan," katanya.
Siti Asiah berkata, bapanya mempunyai tujuh anak, 30 cucu dan 18 cicit.
"Ayah berkahwin pada usia 25 tahun dan semasa isteri yang kelapan barulah mula dapat anak. Selain guru silat, ayah juga pernah bekerja sebagai Homeguard di Kuala Nerang.
"Ayah sudah melahirkan ramai anak murid sama ada di Padang Terap ataupun luar daerah ini semasa membuka gelanggang silat di hadapan rumah. Sehingga kini, masih ada yang datang melawat dan memberikan sumbangan," katanya.
Tambah Siti Asiah, mereka sekeluarga bangga dengan sumbangan yang diberikan oleh bapanya kepada masyarakat dan kini turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 setiap bulan.
Mat Piah juga merupakan Tokoh Seni Pendekar 2004 yang menerima anugerah daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Barokhas.