KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Seramai 11 pelajar lelaki direman selama tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes pukul di sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus dalam kejadian pada malam Khamis lalu.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu, Norina Maludin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kesemua suspek ditahan ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.
Menurutnya, penahanan suspek susulan laporan polis dibuat oleh mangsa bersama keluarganya di IPD Kuala Terengganu sekitar jam 9.40 malam pada Ahad.
"Mangsa telah menghubungi ibunya untuk datang ke asrama dan membawanya pulang ke rumah sebelum mendedahkan kejadian yang berlaku.
"Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami lebam pada kedua-dua belah paha. Mangsa juga telah dihantar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau berkata, kes tersebut dipercayai berlaku akibat perselisihan faham.
"Mangsa dipercayai dipanggil oleh suspek yang merupakan rakan satu asrama untuk ke tingkat satu sebelum berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa dipukul serta disepak oleh suspek," katanya.
Pada Isnin tular di media sosial seorang pengguna Facebook memuat naik status berserta gambar menunjukkan bahagian badan seorang individu yang mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.
Bagaimanapun, hasil carian pada Selasa mendapati perkongsian itu telah dipadam pemilik akaun terbabit dan hanya dikongsikan beberapa pengguna lain yang memuat turun gambar tersebut di laman sosial masing-masing.