KUANTAN - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran dan tiga das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki yang melarikan diri selepas melanggar kenderaan polis di Jalan Air Putih di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan keretanya kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, kereta jenis Proton Perdana dipandu suspek cuba ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Kuantan yang menjalankan operasi Ops Sarang bagi tujuan pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di lokasi itu.
"Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut keretanya selepas menyedari kehadiran polis sebelum terjerat memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130 di sini.
"Suspek bertindak nekad mengundur keretanya dan melanggar kenderaan polis beberapa kali dalam cubaannya meloloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian itu, kenderaan polis yang dilanggar suspek kemek manakala anggotanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, dalam cubaan menghalang suspek melarikan diri, anggotanya melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran dan mengarahkan saspek memberhentikan kenderaannya.
"Amaran itu tidak diendahkan memaksa anggota tersebut melepaskan tiga das tembakan lagi ke arah tayar kereta tersebut.
"Bagaimanapun, suspek berjaya melepaskan diri dari lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan suspek, pihaknya menemui beberapa dokumen atas nama dua lelaki dan kedua-duanya diminta tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau menghubungi hotline 09-5652222 bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek masih dijalankan.