Trend guru bersara awal perlu campur tangan kerajaan

Iklan
Mohamad

SHAH ALAM - Negara bakal mengalami krisis pendidikan yang lebih kritikal dan kerugian yang besar sekiranya masalah persaraan awal guru-guru berpengalaman berlanjutan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia juga akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Oleh itu, menurut beliau, kerajaan perlu campur tangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pendidikan wajar memanggil wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjelaskan perkara tersebut.

Beliau menggesa perkara itu setelah Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun sejak kebelakangan ini.

Iklan

"Angka ini jauh melebihi angka KPM yang dikeluarkan pada 9 November 2021 bahawa sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

"Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka trend bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan memberi maklum balas terperinci terhadap kegusaran NUTP itu.

Tambahnya, dengan peningkatan jumlah itu juga aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf antarabangsa akan terjejas.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM bagi menjelaskan perkara ini agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan.

"Guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

"Kebajikan guru adalah keutamaan yang tiada kompromi dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier pada saat masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan KPM,” katanya.