JOHOR BAHRU - Kehangatan sambutan Hari Raya Aidilfitri kian terasa apabila kebanyakan masyarakat dilihat sudah mulai sibuk mencari keperluan bagi memeriahkan suasana pada tahun ini.
Pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one off’ RM10,000 yang sudah mulai diagihkan bermula Isnin juga dilihat antara faktor utama rakyat di negeri ini dilihat terus memenuhi kawasan tumpuan bagi mendapatkan keperluan raya.
Tinjauan Sinar Harian di salah satu pusat beli belah terkemuka di bandar raya ini mendapati suasana di sana tidak lekang dek orang terus berpusu-pusu membeli-belah bagi meraikan hari yang dinanti-nantikan itu.
Salah seorang pengunjung, Ahmad Ammar Najmi Bin Anas, 26, berkata, perayaan Aidilfitri tahun ini adalah sedikit berlainan kerana buat pertama kali akan menyambutnya dengan keluarga belah isteri di Batu Pahat.
Katanya, semestinya pengeluaran KWSP itu juga memberi makna yang besar pada Aidilfitri ini kerana banyak membantu terutama daripada segi kewangan kerana baharu mendirikan rumah tangga.
"Memang tidak sabar sangat menunggu raya kali ini, ini adalah kali pertama saya akan beraya dengan keluarga mertua, dan isteri saya dapat kembali semula meraikannya dengan keluarga. Sudah tentu suasana itu adalah pengalaman baharu jadi kami memang bersemangat sedikit.
"Bila tahu KWSP boleh keluar ini saya sedikit lega, jadi dapat cari keperluan lebih sikit terutama bagi isteri dan anak saya yang baharu dilahirkan tahun lalu. Ini adalah perayaan yang istimewa dan saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Dia yang juga pekerja swasta memberitahu, pengeluaran KWSP itu juga akan digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah kerana baharu berpindah selepas berumah tangga.
"Ada nak beli dekorasi rumah sedikit macam sofa, kerana baharu pindah rumah. Jadi rumah kosong hanya ada tikar sahaja. Elok sikit bila nanti orang datang rumah,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nur Amirah Syahirah Md Kelani, 26, dari Johor Jaya berkata, dirinya merasakan perayaan Aidilfitri tahun ini lebih meriah kerana dapat beraya bersama keluarga tercinta di kampung.
Katanya, antara yang paling dirindui adalah peluang untuk kembali menziarahi pusara ibunya yang mana sebelum ini setiap tahun akan menjadi kebiasaan keluarga ketika Hari Raya.
"Dua tahun beraya dengan keluarga suami sahaja di sini, jadi selepas dapat pulang ke kampung dan melawat pusara ibu. Jadi memang mahu dapatkan keperluan awal, sebelum balik.
"Alhamdulillah kerajaan luluskan pengeluaran KWSP ini, dapat juga saya berkongsi dengan ahli keluarga ketika hari raya ini, macam beli barang dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nazrin Nazhan Mohd Nasir, 23, berkata, perayaan tahun ini diharap dapat disambut dengan lebih meriah kerana dua tahun hanya menyambutnya secara bersederhana.
Dia yang juga mempunyai keluarga di Kuantan, Pahang memberitahu, sudah mengambil cuti panjang daripada syarikat untuk pulang beraya di negeri berkenaan.
"Alhamdulillah baju dah ada, tengah cari barang lagi sikit sebelum balik beraya. Memang saya sedikit teruja tahun ini kerana dapat balik dan berjalan jauh ke kampung.
"Perjalanan itu yang buat saya paling rindu dan suasana kampung itu. Dua tahun saya di Johor Bahru, memang tidak sama seperti tahun-tahun sebelum itu,” katanya.