IPOH - Orang ramai mengambil peluang mencari barang persiapan hari raya sempena cuti umum Nuzul al-Quran pada Selasa hingga mengakibatkan kebanyakan kawasan parkir pasar raya dan pusat beli-belah penuh.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai khususnya ibu bapa membawa anak-anak berpusu-pusu membeli barang keperluan khususnya baju dan kasut di beberapa kawasan tumpuan antaranya Angsana Mall, AEON dan Mydin.
Seorang pengunjung, Siti Amirah Amiruddin, 30, mengambil masa hampir 20 minit untuk mencari parkir di pusat membeli-belah di Angsana Mall di sini disebabkan kenderaan yang banyak.
Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan dia dan keluarga mendapatkan persiapan raya di situ kerana mempunyai banyak pilihan selain harga yang berpatutan.
"Saya datang sekitar jam 3 petang, tempat masuk sudah pun disekat dan diletakkan tanda parkir penuh, nak tak nak terpaksa letak kereta jauh sedikit.
"Saya memang sudah jangkakan orang ramai memandangkan hari ini cuti umum," katanya.
Bagi pekerja swasta, Roslan Mohamed, 42, pula berkata, persiapan kali ini dibuat dengan meriah bagi meraikan kebenaran diberikan kerajaan menyambut hari raya selepas dua tahun berdepan pandemik Covid-19.
Menurutnya, selain baju raya, dia turut membelikan kasut dan songkok baharu untuk tiga anak lelakinya masing-masing berusia enam, sembilan dan 12 tahun.
"Tahun lepas tak beli baju baharu, pakai mana yang ada sahaja sebab kita tak beraya kan, jadi tahun ini kenalah sambut meriah sedikit bagi anak-anak seronok," katanya.
Dalam pada itu, kerani sebuah syarikat, Rozita Hashim, 36, mengakui teruja untuk membeli-belah barangan hari raya lebih-lebih lagi apabila mendapat wang tambahan menerusi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dia yang ditemui di pusat membeli-belah AEON sempat membeli sepasang baju raya, tudung dan kasut serta pakaian raya untuk kedua ibu bapanya.
"Dengan pengeluaran ini dapatlah saya atur perbelanjaan dengan baik, selain untuk simpanan, saya guna sedikit buat persiapan Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, peniaga pakaian, A Raman Irshad, 48, berkata, suasana pusat membeli-belah agak sesak dengan orang ramai pada sebelah pagi dan beransur reda pada waktu petang.
"Memang ramai betul pelanggan yang datang, mungkin disebabkan cuti umum.
"Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kami dalam kalangan peniaga dan harap dengan adanya pengeluaran KWSP serta bonus penjawat awam, lebih ramai yang datang membeli keperluan hari raya," katanya.