PEKAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Khatam al-Quran Sempena Sambutan Nuzul Al-Quran dan Bacaan Tahlil untuk Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj di sini, hari ini.
Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di masjid berkenaan pada pukul 6 petang.
Iklan
Iklan
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat Diraja Pahang turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan khatam al-Quran yang dipimpin Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Pahang, Mohd Khalil Mohd Zari disusuli tahlil dan doa oleh Abdul Rahman sebelum ceramah ringkas Nuzul Al-Quran disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Datuk Badli Shah Alauddin.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan sagu hati kepada tiga masjid yang paling banyak khatam al-Quran iaitu Masjid Sultan Mahmud (Lipis), Masjid Assyakirin (Maran) dan Masjid Tengku Mahkota Abdullah (Jerantut).
Selesai majlis berkenaan, Seri Paduka berdua berkenaan berbuka puasa dan menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah. - Bernama