Sentuhan pemusnah Bergson, Forestieri

Iklan
Forestieri (kanan) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol ketika menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. - Foto Bernama

DUA penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri sekali lagi menjadi ancaman merbahaya kepada lawan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Selepas Guangzhou FC, Ulsan Hyundai pula menjadi mangsa Bergson dan Forestieri apabila masing-masing menyumbang satu gol bagi membantu kemenangan 2-1 JDT ke atas pendahulu Liga 1, Korea (K1 League) itu.

Iklan
Iklan

Dalam aksi kedua Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin, Bergson dan Forestieri membuktikan ketajaman mereka dengan meledak gol di setiap babak pertama dan kedua.

Kejayaan itu menyaksikan JDT menyambar AS$50,000 (RM212,650) lagi sebagai hadiah kemenangan selepas membelasah Guangzhou FC 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan I pada Jumaat lalu.

Iklan

Untuk rekod, pasukan yang memenangi aksi peringkat kumpulan ACL akan menerima AS$50,000 manakala pasukan yang meraih keputusan seri memperoleh AS$10,000 (RM42,530).

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, beliau tidak menyangka anak-anak buahnya mampu mengejutkan skuad kendalian Hong Myung-bo itu yang hadir dengan reputasi sebagai juara ACL 2020.

Iklan

"Kami terpaksa berhempas pulas menyaingi kehebatan pasukan lawan yang kerap menggerakkan bola dan menyusun permainan bermula di posisi pertahanan, tengah dan posisi sayap kiri serta kanan.

"Namun, pada penghujung permainan, kami beraksi dengan baik. Jika kami gagal mengimbangi kekuatan lawan sudah tentu kami tewas pada perlawanan itu.

"Taktik mengajak lawan sentiasa berlari memberi kesan apabila mereka tampak keletihan. Namun saya akui agak sukar untuk mengekalkan taktik permainan yang konsisten,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Selepas mengharungi dua perlawanan, JDT gah menerajui Kumpulan I apabila mengumpul enam mata maksimum diikuti Kawasaki Frontale (empat), Ulsan Hyudai (satu) dan Guangzhou FC (0).

Sementara itu, tonggak pertahanan tengah JDT, Shahrul Saad cukup teruja apabila berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik bersama Shane Lowry.

"Shane selalu memberikan kata-kata semangat selain rakan-rakan sepasukan juga membantu memberi perangsang supaya saya beraksi konsisten. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

"Walaupun saya tidak banyak diturunkan dalam saingan liga tempatan tapi itu bukan halangan untuk saya memberikan corak permainan mantap bagi memastikan benteng tidak mudah dibolosi.

"Kemenangan ini hasil daripada komitmen tinggi setiap pemain. Kami menang sorak bersama dan tewas... tewas bersama,” jelas Shahrul.