SHAH ALAM - Individu yang meninggalkan kediaman untuk meraikan Aidilftri di kampung halaman dinasihatkan memaklumkan ke balai polis berhampiran bagi memudahkan anggota polis melaksanakan pemantauan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tindakan itu akan memudahkan anggota polis melakukan perancangan rondaan di kawasan perumahan tersebut.
Iklan
Iklan
"Saya juga mahu menasihati mereka untuk membuat pergerakan pulang pada waktu yang telah dicadangkan pihak pihak pengendali lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan serta sumbangan kasih bersama Ketua Polis Selangor dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.
Arjunaidi berkata, hanya 10 peratus pegawai dan anggota Polis Selangor dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri kali ini manakala selebihnya perlu bertugas seperti biasa.
Dalam perkembangan berasingan Arjunaidi berkata, seramai 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang menerima sumbangan baju raya daripada pihak Jakel Shah Alam.
"Selain itu, seramai 10 orang penjaga anak-anak yatim ini turut mendapat sumbangan berupa tudung dan baju kurta," ujarnya.