Langkah tepat atasi '50 hingga 100' orang alamat sama

Iklan
Azhar Azizan Harun

PUTRAJAYA - Peraturan baharu permohonan pertukaran butiran alamat dalam kad pengenalan boleh membantu membanteras tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendaftar atau memindahkan pengundi dengan menggunakan alamat palsu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman bahawa bermula 2 Mei ini, semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan.

Iklan
Iklan

Antara dokumen sokongan ialah bil eletrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah atau lain-lain dokumen bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

"SPR berpendapat bahawa langkah tersebut amatlah wajar dan akan membantu usaha SPR untuk memastikan bahawa alamat seseorang pendaftar yang digunakan oleh beliau di dalam daftar pemilih merupakan alamat yang benar.

Iklan

"Ianya juga akan membantu membanteras apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan ataupun memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga," katanya.

Menurut Azhar Azizan, langkah tersebut, dengan secara langsung, akan dapat membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintergriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat mastautin.

Iklan

"SPR menyambut baik dan amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai langkah yang diambil tersebut," katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Dalam Negeri menetapkan peraturan baharu itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes ‘50 hingga 100 orang’ menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

Selain itu, penggunaan alamat yang tidak sahih menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti SPR dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.

Bagi orang ramai yang menyewa rumah, mereka perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

Sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, Ahli Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat pemohon.