PENAMPILAN beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mampu membantu memperkuatkan cabaran skuad negara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang bakal bermula dari 26 April hingga 21 Mei di Manila, Filipina.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, kehadiran Ee Yi-Yew Sin akan menjadikan kesemua gandingan beregu sedia ada ‘berlumba-lumba' untuk bersaing secara sihat dalam usaha menjadi gandingan pilihan utama negara kelak.
Malah, beliau memberitahu, situasi itu akan membantu menjadikan setiap gandingan berkenaan dapat melakukan persediaan lebih rapi menjelang kejohanan tersebut.
"Ketika ini semua gandingan beregu kita sedang melakukan persiapan bagi menghadapi BAC kali ini. Mereka cukup bersemangat dalam sesi latihan.
"Saya percaya gabungan pemain-pemain beregu yang ada sekarang, tidak kira daripada BAM mahupun yang berstatus profesional, mereka akan dapat melakukan yang terbaik pada BAC nanti.
"Bukan hanya pada BAC, tetapi mereka diharapkan dapat memberikan yang terbaik pada saingan Piala Thomas dan Sukan SEA nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Selain Ee Yi-Yew Sin, pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; juara Terbuka Jerman, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan gandingan muda meningkat naik, Tee Kai Wun-Man Wei Chong turut akan mengambil bahagian.
Mengulas lanjut, Rexy berkata, saingan BAC kali ini akan dijadikan medan persiapan terbaik menjelang Piala Thomas di Bangkok, Thailand mulai 8 hingga 15 Mei dan Sukan SEA Hanoi dari 12 Mei hingga 23 Mei nanti.
Justeru, Rexy mengharapkan kesemua beregu berkenaan dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peluang beraksi di pentas BAC kali ini sebagai persiapan bagi mengharungi kedua-dua kejohanan berkenaan.
"Kesemua beregu kita perlu melakukan persiapan yang cukup dan bersedia untuk menempuhi ketiga-tiga kejohanan besar tersebut.
"Diharapkan juga persediaan yang dilakukan dapat menjadikan pemain-pemain kita menjadi lebih bersedia untuk beraksi kali ini,” jelasnya.