Tragedi mercun umpama acara tahunan

Iklan
Peningkatan penyeludupan mercun dari negara jiran ketika ini ekoran permintaan yang tinggi di negara ini menjelang Aidilfitri.

BUKAN kejutan. Demikian getus hati kecil penulis terhadap kes melibatkan seorang mangsa yang parah terkena letupan mercun bola di Bachok, Kelantan.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, remaja lelaki berusia 14 tahun itu hancur jari tangan kanan akibat mercun bola yang dibakarnya meletup sebelum sempat dibaling. Peristiwa hitam itu berlaku di belakang rumahnya.

Iklan
Iklan

Kesannya, mangsa terpaksa menjalani pembedahan membuang ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah yang sudah lunyai. Pelajar Tingkatan Dua tersebut turut luka di leher akibat percikan api mercun bola, malah gegendang telinganya pecah.

Ironinya, remaja ini bakal menempuhi perjalanan hidup yang masih panjang dalam keadaan tidak sempurna fizikal atau bahasa kasarnya, kudung.

Iklan

Kejadian seumpama ini kerap dilaporkan media setiap kali datangnya bulan Ramadan dan Syawal. Di Kelantan, ia ibarat ‘acara tahunan' apabila setiap tahun tidak terlepas daripada peristiwa mangsa yang cedera akibat letupan mercun, bahkan kerap kali menjulang carta nombor 1 di Malaysia.

Setakat artikel ini ditulis, mangsa tersebut merupakan yang pertama dan menjadi satu-satunya kes yang berlaku di Malaysia pada tahun ini.

Iklan

Jika masih ingat, dalam memori catatan sejarah tragedi letupan mercun bola paling ngeri di Malaysia, ia juga berlaku di Kelantan.

Kejadian pada 21 Mei tahun lalu membabitkan seorang lelaki yang maut dengan begitu tragis apabila anggota badannya hancur dalam kejadian Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu.

Mangsa memandu Proton Iswara Aeroback melambung sebelum tercampak sejauh lebih 20 meter dari kereta yang meletup gara-gara muatan mercun bola. Badan kereta tersebut terputus dua.

Lebih dahsyat, kejadian itu juga ibarat serangan bom musuh di zon peperangan apabila cermin tingkap masjid yang terletak kira-kira 100 meter dan nako beberapa rumah di pangsapuri berdekatan juga berderai.

Lima kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian turut terbakar dan beberapa kereta beralih kedudukan. Selain mangsa yang maut, empat mangsa lain turut cedera akibat letupan ‘menggila’ itu.

Siasatan polis tidak menolak letupan berpunca akibat kenderaan itu yang membawa muatan mercun bola.

Mercun bola pembunuh!

Bukan saja kanak-kanak dan orang muda, tak kurang juga yang sudah berusia seperti tidak serik dengan insiden mercun ini. Seolah-olah tidak sempurna Ramadan dan Syawal tanpa mercun bola.

Saban tahun kes berulang, seolah-olah ‘pandemik’ yang tidak berkesudahan.

Di mana lagi silapnya? Apabila kes sebegini tetap berlaku sedangkan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering kali memberi amaran dan mengambil tindakan tegas.

PDRM turut menggiatkan usaha bagi memantau kegiatan berkaitan mercun terutama penyeludupan dan penjualan serta aktiviti bermain mercun. Hasilnya, setakat Khamis lalu, polis Kelantan merampas mercun bernilai lebih setengah juta ringgit dalam 10 siri serbuan selama dua minggu.

Penulis percaya peningkatan penyeludupan mercun dari negara jiran ketika ini ekoran permintaan yang tinggi di negara ini menjelang Aidilfitri. Lebih-lebih lagi sempadan negara sudah dibuka.

Ada permintaan dan kuasa beli, sehinggakan ada kereta penyeludup yang terjatuh dalam parit akibat terlampau teruja mahu menyeludup seludup tujuh guni mercun bola. Tujuh guni, bukanlah jumlah yang sedikit.

Tidak pasti, sama ada kita nak memeriahkan Syawal atau nak berperang dengan ‘bom’ mercun bola. Bahkan, penulis menjangkakan angka tersebut akan bertambah berikutan negara sedang menuju ke fasa peralihan endemik.

Cukuplah sekadar letup-letup manja seperti mercun bawang sahaja. Main bunga api pun sudah cukup dapat menceriakan Syawal.

* Adila Sharinni Wahid ialah Wartawan Sinar Harian