KOTA BAHRU - Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan masyarakat di negeri ini kembali rancak selepas dua tahun berdepan serangan Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian di salah satu 'syurga' membeli-belah terkemuka di negeri ini iaitu bazar di hadapan Masjid Muhammad di sini pada Selasa mendapati orang ramai mula sibuk membuat persiapan menyambut hari lebaran yang akan tiba tidak lama lagi.
Rata-rata mereka mengambil peluang cuti umum sempena sambutan Nuzul al-Quran untuk membuat persiapan menjelang sambutan tersebut.
Seorang pengunjung, Wan Rosli Wan Yusof, 61, dari Panji berkata, kesempatan cuti umum sempena Nuzul al-Quran dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membuat persediaan itu.
"Saya datang ke sini untuk membeli kopiah dan songkok untuk dipakai pada hari lebaran nanti.
"Persiapan lain seperti pakaian sudah dilakukan pada minggu pertama Ramadan lalu," katanya.
Bagi Wan Saiful Wan Muhammad, 35, berkata, persiapan awal ini bagi mengelakkan dia dan keluarga berdepan kesukaran untuk membuat pilihan pada saat-saat akhir.
"Saya lebih selesa membuat persiapan awal. Hal ini kerana awal Ramadan biasanya banyak pilihan berbanding saat-saat akhir," katanya.
Menurutnya, dia lega apabila semua kelengkapan itu dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Sementara itu, seorang peniaga Siti Nur Aqilah Mohd Suhaimi berkata, pertambahan pengunjung dapat dilihat setiap kali hujung minggu.
"Jumlah itu dijangka akan bertambah menjelang minggu terakhir Ramadan.
"Alhamdulillah selepas dua tahun tidak dapat beraya dengan sempurna akibat Covid-19. Tahun ini saya lihat orang ramai mula seronok untuk membuat persiapan menyambut raya," katanya yang berniaga pakaian.
Siti Nur Aqilah berkata, seawal jam 8 pagi orang ramai sudah memenuhi kawasan bazar sehinggalah lewat jam 12 malam.
Katanya, mereka membeli-belah dengan seronok tanpa menghiraukan harga yang ditetapkan dan alasan yang diberikan adalah sudah dua tahun tidak beraya.
Menurutnya, sejak Jumaat lalu lagi dia dan rakan-rakan niaga di sini tidak menang tangan melayan pengunjung yang datang.
"Alhamdulillah rezeki kami selepas dua tahun tidak dapat berniaga pada Ramadan disebabkan Covid-19," katanya.