PAPAR - Pengisian pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar berjaya menjentik hati seorang mualaf untuk mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam sepanjang berada di pusat berkenaan.
Klien Puspen Papar dikenali sebagai Muhammad, 44, turut berhasrat melaungkan azan di masjid kampung halamannya di Kota Marudu selain ingin berbakti mengajar mengaji selepas beliau selesai menjalani rawatan dan pemulihan di pusat itu.
Menurut Muhammad, dia memeluk agama Islam selepas dimasukkan ke Puspen pada Disember tahun lalu apabila ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di kediamannya di Kota Marudu.
"Selama 26 tahun saya menagih dadah iaitu sejak berusia 17 tahun kerana hanya ingin mencuba.
"Selepas itu saya terjebak pelbagai jenis dadah termasuk heroin, ganja, kokain dan pil kuda," katanya ketika ditemui di Puspen Papar, di Kimanis, baru-baru ini.
Menurut Muhammad, sepanjang menagih dadah dia tidak pernah ditahan namun ibu dan adiknya membuat laporan polis berhubung kegiatannya kerana mengganggu ketenteraman awam ketika itu.
"Sepanjang proses pemulihan saya sering melihat bagaimana umat Islam menunaikan solat sehingga terdetik untuk mengenali agama Islam.
"Sebenarnya sejak 2013 lagi saya sudah tertarik dengan Islam apabila sering mendengar ceramah daripada ustaz namun ketika itu saya masih di bawah pengaruh dadah dan tidak mahu memeluk agama Islam dalam keadaan sebegitu," katanya.
Muhammad turut mengakui tahun ini kali pertama dia berpuasa dan cabaran paling utama ialah menahan haus.
"Bagaimanapun, saya mula seronok kerana banyak perkara yang kita kena jaga sepanjang berpuasa termasuk percakapan dan jaga adab. Saya masih ingat ustaz pernah menekankan bahawa berpuasa bukan hanya untuk menahan untuk tidak makan tetapi juga kena jaga mata dan mulut.
"Lagi pun nikmat ketika berbuka puasa itu juga seronok selain pada waktu malamnya diisi dengan pelbagai program keagamaan seperti solat tarawih, bertadarus dan sebagainya," katanya.
Katanya lagi, disebabkan program keagamaan yang berterusan menyebabkan dia semakin mendekatkan diri dengan ALLAH selain dapat membantu melancarkan bacaan untuk mempelajari al-Quran.
"Di Puspen ini kita ada i-Pulih di mana kami digalakkan berada di masjid untuk membaca al-Quran. Pada mulanya saya memang tidak tahu tetapi kini sudah boleh membaca sedikit walaupun tidak lancar.
"Jadi saya menyasarkan supaya dapat khatam al-Quran suatu masa nanti dan boleh mengajar kanak-kanak selain berhasrat melaungkan azan di surau kampung saya," katanya.