Orang ramai serbu Jalan TAR

Iklan
Orang ramai menyerbu Bazar Jalan TAR untuk membeli kelengkapan Aidilfitri.

KUALA LUMPUR - Suasana Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur atau dikenali sebagai Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) penuh sesak dengan pengunjung terutamanya orang ramai yang mahu membuat persediaan bagi menyambut hari raya.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati orang ramai begitu teruja membeli-belah di bazar berkenaan sebagai persediaan Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Pengawal keselamatan, Musa Zakaria, 44, akui gembira dapat membeli barangan bagi menyambut perayaan tahun ini bersama keluarganya memandangkan hampir dua tahun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Musa

"Kami agak teruja untuk membeli barang sebab nak balik kampung. Kita pula dah dua tahun tak dapat balik.

Iklan

"Sebab itu kami datang ke sini membeli pakaian raya untuk anak-anak,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani, Mohamad Faizal Che Ani, 39, berkata, bagi keluarganya pula, mereka tidak menetapkan sebarang anggaran jumlah perbelanjaan barang yang dibeli kerana lebih mementingkan kualiti berbanding harga.

Iklan

"Kita datang memang dah dapat apa yang kita nak, kita beli, selepas itu kita balik. Kita tak rancang untuk berada lama-lama di sini sebab orang terlalu ramai.

"Bagi barang pula, ia bergantung. Kalau kita rasa barang itu berbaloi, kita beli. Jadi memang kita tidak tetapkan bajet,” ujarnya.

Selain itu, suri rumah, Siti Nur Aziah, 54 berkata, keluarganya datang ke bazar bagi membeli beberapa barangan termasuk pakaian raya, karpet, kuih-muih serta biskut raya.

"Tahun ini kita tidak membeli barangan terlalu banyak, hanya membeli yang penting sahaja. Contohnya macam baju raya, kami hanya beli sepasang sahaja untuk pagi raya. Yang lain itu, pakai yang lama sahaja.

"Selain baju, kita ada juga beli kuih raya, separuh lagi itu kita buat. Macam kerepek itu kita beli, kalau biskut raya, kita buat sikit-sikit,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga songkok, Abdul Rahman Kadir, 32 ternyata gembira sokongan dan kehadiran pengunjung yang ramai ke bazar berkenaan.

Abdul Rahman

"Selepas dua tahun pandemik Covid-19, kemeriahan untuk meraikan Aidilfitri kembali dirasai.

"Sejak mula bazar dibuka pada 9 April lalu, jumlah pengunjung saban hari semakin bertambah dan untuk peniaga kecil, saya cukup berterima kasih kepada pelanggan,” katanya.

Dia yang berniaga songkok sejak 32 tahun lalu turut menyatakan Bazar Jalan TAR bukan hanya dikunjungi mereka di sekitar Lembah Klang, malah ada yang datang dari negeri lain.

"Ada dalam kalangan pelanggan saya datang dari Perak. Saya yakin kehadiran mereka kerana tarikan yang ada di sini.

"Apa yang pasti harga yang ditawarkan berbaloi dan segala kelengkapan raya ada di sini,” menurutnya.

Di samping itu, peniaga biskut raya Radimas, Maimun Mahmud, 40 berkata, pertambahan bilangan pengunjung pada kali ini dilihat lebih meriah berbanding tahun lalu.

Maimun

"Insya-ALLAH, saya jangkakan bilangan pengunjung akan bertambah lagi pada tahun ini. Macam tahun lepas, kemasukan pengunjung dihadkan sebab bazar ini diletakkan pagar.

"Jadi bila tahun ini, sudah tidak ada pagar, mereka sudah buka, itu yang membuat lebih ramai pengunjung boleh masuk,” jelasnya.