PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan tiada niat untuk ‘memalukan’ Manchester United di sebalik kemenangan 4-0 yang dilakar The Reds di Anfield, pada Rabu.
Menurut Klopp, kesemua pemain diarahkan untuk memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan berkenaan.
"Saya tidak berada di sini hanya semata-mata untuk memalukan pihak lawan. Pemain diarahkan untuk beraksi mengikut percaturan taktikal yang telah diatur dan dengan mematuhi percaturan itu, kita mencatatkan kemenangan.
"Bagaimanapun, lihat sahajalah persiapan United. Lihat sahaja barisan pemain diturunkan di mana mereka bermain tanpa pemain yang mengemudi bahagian tengah dan ini membuka lebih banyak ruang untuk kami.
"Anda boleh saksikan Pogba dikeluarkan dan ini semakin menyukarkan United untuk mengekang asakan-asakan kami,” katanya.
Pada aksi tersebut, trio serangan The Reds, Luis Diaz, Mohamed Salah dan Sadio Mane, masing-masing meledak jaringan bagi memastikan kemenangan dan merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Untuk rekod, kemenangan berkenaan adalah kemenangan kedua Liverpool ke atas United musim ini setelah menang 5-0 di Old Trafford pada Oktober.
Sementara itu, Klopp menegaskan, dia tidak berminat dengan kemenangan besar Liverpool kerana apa yang penting baginya adalah kemenangan.
"Jika penyokong mahu meraikan kemenangan besar, silakanntapi tidak bagi saya kerana kemenangan sahaja sudah memadai.
"Sama ada menang 1-0 atau 9-0, perasannya sama dan saya tahu ia tidak akan berkekalan kerana United sudah pasti akan kembali bangkit musim depan.
"Apa pun, secara keseluruhannya, bagi saya United adalah sebuah pasukan yang bagus, tetapi malam ini (Rabu), kami ternyata jauh lebih bagus berbanding mereka,” katanya.