700 juadah berbuka percuma setiap hari

Iklan
Sukarelawan UIAM membantu membungkus juadah berbuka untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar daerah ini di pusat operasi Dapur Infaq Ummah di Indera Mahkota, pada Rabu.

KUANTAN - Badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan 700 juadah berbuka puasa secara percuma pada setiap hari sepanjang Ramadan untuk golongan memerlukan di daerah ini.

Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 300 juadah akan diagihkan kepada komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar Kuantan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selebihnya pula akan diagihkan kepada pelbagai pihak, termasuk penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar daerah ini.

"Sukarelawan Dapur Infaq Ummah menghantar makanan kepada komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar setiap hari bermula jam 6 petang.

Iklan

"Agihan di kawasan lain dilakukan beberapa NGO yang berdaftar dengan Dapur Infaq Ummah dan makanan diambil di pusat operasi kami di Indera Mahkota.

"Terdapat 15 sukarelawan Dapur Infaq Ummah setiap hari yang menyediakan makanan, membungkus dan mengagihkan mulai jam 2 petang,” katanya ditemui di pusat operasi Dapur Infaq Ummah di Indera Mahkota pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, makanan turut diberikan kepada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk dinikmati penuntut dan warga universiti itu.

"Kita menyediakan nasi dengan pelbagai jenis lauk pada setiap hari, selain nasi lemak bersama ayam goreng dan minuman," katanya.

Bagi sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Maizatul Mamat, 30, berkata, masa terluang dimanfaatkan bagi membantu menyediakan juadah berbuka puasa bagi golongan memerlukan di daerah ini.

Katanya, bantuan tenaga diberikan selama beberapa jam dilakukan secara ikhlas, selain menambah pahala.

Menurutnya, kerja-kerja membungkus dilakukan secara gotong-royong dilakukan dalam suasana ceria dan mesra secara berkumpulan.

"Saya bertugas bersama 10 sukarelawan setiap hari yang turut disertai ahli Dapur Infaq Ummah yang berpengalaman luas dalam penyediaan pelbagai jenis makanan.

"Saya berpuas hati dan seronok dapat membantu dalam aktiviti kebajikan di daerah ini, pengalaman kali ini begitu menyeronokan," katanya yang berpuas hati dapat menyumbang tenaga.

Rakannya, Syakira Munirah Saifuddin, 24, pula merasa bertuah apabila berpeluang memberikan bantuan tenaga dalam menyediakan makanan kepada golongan miskin, komuniti Lorong Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar, di sini.

"Ini kali pertama saya terbabit dalam aktiviti sukarelawan bagi menyediakan makanan, walaupun agak panas berada di dapur namun ia suatu pengorbanan untuk insan memerlukan.

"Saya akan terus terbabit dengan aktiviti sukarelawan dengan Dapur Infaq Ummah sekiranya diberi peluang pada masa akan datang," katanya.