SHAH ALAM - Alhamdulillah, Farah stabil, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IRM) mengenai keadaan kakitangannya yang terlibat dalam kemalangan, semalam.
Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, keadaan Farah, 24, dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.
"Setakat jam 1.40 pagi tadi, keadaannya stabil dan mengalami luka di kepala.
"Kedua tulang femurnya patah, pagi ini dia akan menjalani pembedahan kecil untuk memasang 'tapak kaki' dan pin pada bahagian yang patah itu," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, Farah dijangka akan pulih dalam masa enam minggu hingga beberapa bulan.
"Dari apa yang saya dimaklumkan, selepas luka sembuh, mungkin akan ada pembedahan untuk memasuk besi.
"Dia sudah pun dipindahkan ke wad biasa sementara menunggu pembedahan kecil dijalankan," katanya.
Jelasnya, dia sempat menziarahi Farah ketika di zon merah Hospital Shah Alam, semalam.
"Dari apa yang saya dimaklumkan, Farah akan melangsungkan majlis akad nikahnya pada hujung minggu ini, namun ALLAH lebih mengetahui segalanya.
"Apa pun saya berharap kita sama-sama berdoa agar Farah segera sembuh," katanya.
Dalam kejadian semalam, seorang lelaki maut manakala seorang wanita parah dalam kejadian kemalangan melibatkan dua kereta di Persiaran Selangor arah Bulatan Kemajuan ke Bulatan Selangor, Seksyen 15, berhampiran Kompleks Media Karangkraf, di sini.
Kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, pemandu Perodua Myvi, Peh Chin Ming, 19, maut di lokasi kejadian.
Manakala pemandu Perodua Bezza dipandu Farah alami kecederaan parah.
Menurut saksi, kenderaan yang dipandu lelaki itu merempuh kereta Perodua Bezza sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
Farah merupakan petugas Islamic Relief Malaysia (IRM).