LANGKAWI - Bulan Ramadan yang diraikan oleh umat Islam turut membuka peluang kepada pelancong asing yang bercuti di Langkawi merasai kemeriahannya.
Malah mereka memilih untuk memanjangkan tempoh percutian di Langkawi Country Lodge di sini bagi merasai peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Bagi Emily King, 30, dari United Kingdom, dia berada di pulau ini sejak 7 Mac lalu dan ini adalah kesempatan pertama merasai pengalaman di bulan Ramadan.
"Sebelum ini saya pernah mendengar tentang sambutan bulan Ramadan tetapi tidak berpeluang merasainya sendiri.
"Tetapi kini saya bertuah kerana berada di sini dan pemilik rumah penginapan yang kami panggil mama dan papa melakukan pelbagai aktiviti bersama termasuk berbuka puasa," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Menurutnya, dia juga bercadang untuk tinggal di sini sehingga Mei depan bagi membolehkan dia menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan lain.
"Saya diberitahu ada pelbagai aktiviti yang akan dilakukan oleh mama dan papa termasuk menyediakan biskut raya.
"Saya juga tidak sabar untuk belajar membuat biskut tradisional Malaysia dan melakukan persiapan lain pada malam raya nanti," katanya.
Bagi Katy _Thu Thao, 30, dari Vietnam, walaupun lebih lima tahun tinggal di Malaysia kerana bekerja di Kuala Lumpur, namun kemeriahan sambutan Ramadan di rumah penginapan di sini sangat berlainan berbanding di bandar metropolitan itu.
"Ini merupakan kali pertama saya bercuti di sini pada bulan Ramadan dan saya tidak menyangka suasananya lebih meriah.
"Saya juga berasa teruja kerana mama dan papa turut mengajar kami menyediakan masakan Melayu dan berbuka puasa bersama-sama," katanya.
Katy menambah, peluang memasak makanan Melayu seperti gulai ikan menyedarkan dirinya bahawa dia mampu melakukan sesuatu lebih dari yang difikirkan.
"Saya rasa bangga dengan diri saya, mama juga banyak berkongsi resipi dan budaya di sini untuk pengetahuan kami," katanya.
Katanya, dia sebelum ini memilih untuk tinggal beberapa hari di sini sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Tetapi kali ini saya akan panjangkan tempoh bercuti saya sehingga beberapa minggu lagi. Saya juga pasti akan kembali ke sini pada Ramadan akan datang untuk merasai pengalaman ini sekali lagi," katanya.
Sementara itu, pemilik Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah, 54, berkata, pelancong asing di sini lazimnya akan menginap di rumah penginapannya paling kurang tiga kali seminggu.
"Sekarang saya tawarkan pula pakej bulanan iaitu RM1,500 untuk tempoh 30 hari jadi mereka boleh datang secara berulang-ulang.
"Konsep yang saya tekankan di sini adalah saya akan libatkan mereka dalam aktiviti seharian saya dan suami termasuk memasak dan berkebun," katanya.
Menurutnya, di bulan puasa ini dia juga membawa mereka ke bazar Ramadan untuk melihat pelbagai juadah yang dijual.
"Ketika kami berbuka puasa, mereka juga akan makan bersama-sama saya dan suami sambil bertukar cerita dan pandangan," katanya yang menganggap tetamunya seperti keluarga dan anak-anak sendiri.
Norhayati menambah, untuk menarik pelancong asing terus memilih rumah penginapannya, dia sangat menekankan aspek hospitaliti.
"Di sini saya turut sediakan dapur lengkap dengan peralatan memasak, perkhidmatan dobi secara percuma dan juga sambungan wi-fi yang kuat kerana ada antara mereka yang bercuti sambil bekerja," katanya.