ALOR SETAR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja seberat 258 kilogram (kg) bernilai RM7.74 juta yang disembunyikan dalam bungkusan ‘teh cina’ selepas menahan sembilan individu dalam operasi di Kedah dan Pulau Pinang, pada Sabtu dan Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 52 tahun ditahan dalam lima serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan JSJN Perlis.
Kata beliau, dalam tangkapan pertama jam 2 petang 16 April lalu, pihaknya menahan empat suspek bersama dadah jenis syabu seberat 212 kg di Kepala Batas, Pulau Pinang yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
"Lima lagi suspek ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 46 kg dalam operasi kedua sekitar Kulim, Kedah.
"Kedua-dua sindiket ini beroperasi berasingan dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun 2021," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, pada Rabu.
Beliau menjelaskan, sindiket menggunakan modus operandi sama dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari Kelantan ke Kedah menggunakan jalan darat dan mengedarkan dadah tersebut untuk pasaran tempatan.
Tambah Ayob Khan, sindiket terbabit menggunakan taktik menyorok bahan terlarang berkenaan dalam bungkusan 'teh Cina' namun ia gagal mengaburi mata pihak polis.
Beliau berkata, dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 1.1 juta orang penagih dadah.
"Operasi ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan ganja untuk pasaran tempatan terutamanya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.
Jelasnya, selain rampasan dadah bernilai RM7.74 juta, JSJN setakat ini turut menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM423,072 melibatkan tujuh kenderaan dan wang tunai.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan suspek direman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April bagi membantu siasatan.
"Hasil saringan awal mendapati tujuh suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan rekod jenayah lampau mendapati empat suspek memiliki rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah,”katanya.
Ayob Khan berkata, masyarakat diharapkan akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling dengan maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline JSJN di talian 012-2087222.