6 PATI maut dilanggar antara terawal melintas jalan: Saksi

Iklan
Enam etnik Rohingya maut dirempuh kenderaan ketika melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau pada Rabu.

BANDAR BAHARU - Enam etnik Rohingya yang maut dirempuh kenderaan ketika melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau, antara pelarian terawal melintas jalan sebelum diikuti yang lain.

Bagaimanapun, lebih 200 pelarian yang melalui jalan sama membuat keputusan menukar laluan dan tidak jadi untuk melintas sebaliknya terus melarikan diri ke arah lain setelah menyedari rakan mereka terkorban.

Iklan
Iklan

Saksi kejadian, Syamsuddin Che Adni, 29, berkata, kemalangan berlaku sekelip mata dalam keadaan gelap.

"Saya dan rakan lain tengok ada dua, tiga buah kereta yang rempuh mereka dan ada juga yang kena langgar dengan lori treler.

Iklan

"Kami nampak enam meninggal dunia termasuk kanak-kanak perempuan berusia lingkungan lapan tahun tercampak di pembahagi jalan.

"Saya cuba angkat dan ajar kanak-kanak itu mengucap sebelum disahkan turut meninggal dunia," katanya ketika ditemui berhampiran Depot Imigresen Sementara Relau di sini pada Rabu.

Iklan

Menceritakan kejadian, Syamsuddin berkata, pada awalnya, beberapa penduduk kampung ternampak kesemua pelarian berjalan melalui susunan barisan secara beramai-ramai keluar dari depot terbabit kira-kira jam 4 pagi.

Pagar yang dirempuh tahanan dalam cubaan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah.

"Depa (mereka) bersorak gembira seolah-olah sudah bebas, keluar dan berjalan dalam barisan.

"Masa tu saya sempat bertanya kepada petugas sama ada mereka melarikan diri dan memerlukan pertolongan lebih ramai penduduk, jadi kami boleh panggil lebih ramai kawan.

"Kami ikut mereka menggunakan motosikal sampai ke Bukit Sungai Rambai. Sesekali kami tunjukkan jalan dan berlembut dengan harapan dapat mengawal keadaan sebelum bantuan tiba serta berharap mereka tidak agresif kerana jumlah mereka ramai, namun akhirnya mereka tidak percaya dengan laluan yang kami tunjuk dan berpecah.

"Ada yang sudah penat sebab berjalan jauh dan tertinggal dari kumpulan asal. Kami tarik satu per satu dan letakkan dalam pacuan empat roda sebelum hantar ke depot semula," jelasnya.

Syamsuddin berkata, terdapat wanita dan kanak-kanak turut berada dalam kumpulan yang melarikan diri itu.

"Ada ibu yang dukung anak kecil dan bayi dalam keadaan tidak bermaya serta berkaki ayam," katanya.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 362 daripada 528 orang tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri berjaya ditangkap semula.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan kira-kira 700 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri.

Difahamkan, Depot Imigresen Sementara Relau dikatakan adalah bekas tapak Kem Program Latihan Khidmat Negara yang ditutup sejak beberapa tahun lalu namun digunakan bagi menempatkan PATI sejak tahun lalu.