KETUA jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong mahu memperkemas taktikal permainan 'powerplay' dalam usaha melangkah jauh di Sukan SEA, Hanoi di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini.
Chun Yong berkata, corak permainan itu perlu diberikan tumpuan lebih sebagai tindak balas lebih banyak gol dapat dijaringkan selain mengejar pihak lawan jika pasukan ketinggalan dari segi jaringan.
"Ia kaedah yang berisiko namun jika dipraktikkan secara berkesan ia mampu memberikan keputusan yang baik namun berikutan kekangan masa kaedah itu sebelum ini tidak dimahiri secara penuh.
"Seperti dapat kita lihat semasa saingan skuad futsal lelaki pada Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 apabila banyak kaedah itu kita gunakan namun banyak menemui kegagalan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.
'Powerplay' merupakan taktikal permainan melibatkan seorang penjaga gol yang pada mulanya hanya ditugaskan menjaga gawang gol sebelum naik ke atas melepasi garisan tengah gelanggang bagi membentuk rangkaian lima pemain di kawasan lawan.
Selain daripada aspek taktikal, Chun Yong berkata, pihaknya juga sedang mempersiapkan anak buahnya daripada sudut kecerdasan fizikal dan mental.
"Cabaran besar yang saya hadapi kini ialah dari segi itu kerana jika ia dapat diperbaiki dengan lebih baik dengan corak permainan diterapkan kita mampu pergi jauh," katanya.
Ditanya mengenai persiapan akhir skuad itu, Chun Yong berkata, semua pemain akan melapor diri bagi mengikuti latihan pusat bermula 23 April ini sebelum bertolak ke Vietnam pada Mei bagi mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab futsal di negara berkenaan.
Skuad bimbingan Chun Yong menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa pada sukan dwitahunan itu.
Pada penampilan di Hanoi, skuad futsal lelaki kebangsaan diletakkan dalam posisi kelima bagi format liga sepusingan bersama Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar. - Bernama