KUALA LUMPUR - Permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk membatalkan saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menuntut mereka membayar AS$6.59 bilion (1AS$ = RM4.29), akan didengar 1 Julai ini.
Peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Singh.
"Tarikh pendengaran itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Azlinda Ahmad Sharif ketika pengurusan kes saman tersebut hari ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Mohd Irwan selaku defendan kedua memfailkan permohonan itu pada 18 Februari lepas.
1MDB, yang memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan Mohd Irwan pada Mei tahun lepas, mendakwa kedua-dua defendan telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
Dalam permohonannya, Mohd Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.
Mohd Irwan mendakwa, beliau tidak mempunyai sebarang kewajipan kontrak, statutori atau fidusiari terhadap 1MDB kerana pelantikannya sebagai pengarah syarikat itu adalah selepas kerugian yang didakwa dialami 1MDB
Beliau berkata, tuntutan kerugian yang kononnya dialami 1MDB adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana syarikat itu telah memperoleh wang sejurus penyelesaian dicapai dalam tuntutan sivil terhadap pihak lain yang difailkan 1MDB.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. - Bernama