Khairy ulangi gesaan agar RUU larangan merokok diluluskan

Iklan
Rang undang-undang larangan merokok terhadap golongan belia akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi mengulangi gesaan agar rang undang-undang larangan merokok terhadap golongan belia diluluskan apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.

Khairy menerusi ciapan di laman Twitter pada Rabu berkata, undang-undang baharu itu akan menjadi pengakhiran kepada aktiviti merokok dalam kalangan generasi belia.

Iklan
Iklan

"Mereka yang lahir selepas 2005 tidak akan dibenarkan sama sekali membeli produk tembakau. Ya, penguatkuasaan akan menjadi satu isu dan kami akan berusaha keras dalam hal ini. Bagaimanapun, marilah kita menutup ruang untuk golongan belia merokok buat selama-lamanya,” kata beliau.

Ia turut disertakan dengan ciapan semula hantaran oleh pertubuhan berita tempatan berhubung rang undang-undang larangan merokok yang melaporkan bahawa tinjauan sebuah badan bukan kerajaan berkaitan kawalan tembakau menunjukkan dasar itu disokong oleh 95 peratus responden muda berumur 24 tahun ke bawah dan 89 peratus perokok serta pengevap.

Iklan

Pada Mac lepas, Khairy berkata, undang-undang baharu untuk melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk tembakau, termasuk rokok elektronik (mengevap), bagi mereka yang lahir selepas 2005, akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.

Sebelum itu, Khairy mengumumkan pada 17 Februari lepas bahawa pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser serta menyumbang 22 peratus kematian akibat penyakit sama. - Bernama

Iklan