SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada rakyat dan ahli UMNO untuk menilai sendiri berkenaan dokumen minit mesyuarat atau digelar PasLeak yang tular di media sosial pada Selasa.
Menurutnya, laporan itu memetik kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bersetuju membantu mempercepat kes dan menjatuhkan hukuman melibatkan kes mahkamah beliau dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kalau betul apa yang terdedah itu adalah pendapat Muhyiddin, maka ia membayangkan sudah berlakunya satu konspirasi dan pakatan haram antara pemimpin politik dengan AG (Peguam Negara) dan CJ (Ketua Hakim Negara).
"Kalau betul, sudah berlaku kerosakan sistem 'judiciary' (badan kehakiman) dan kehakiman negara.
"Saya berserah hanya kepada ALLAH SWT, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya yang Maha Agung lagi Maha Kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Pendedahan kandungan minit mesyuarat bocor melibatkan sebilangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) merancang strategi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tular sejak Selasa.
Dalam dokumen tersebut beberapa nama disebutkan.
Selain Ahmad Zahid, ia juga memetik nama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Bendahari Kehormat BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin UMNO lain.
Berdasarkan pendedahan gerakan politik oleh dokumen berkenaan, terdapat sekelompok pemimpin PN seolah-olah merancang mempercepatkan hukuman penjara ke atas Ahmad Zahid dan Najib selain cubaan mengaitkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan kes mahkamah.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan menunggu sekiranya ada penafian dan laporan polis yang dibuat terhadap pendedahan laporan risikan tersebut.
"AG, seperti biasa, diam. CJ? Dulu pun dah buat laporan polis tapi umum tidak mengetahui hasil siasatan sama ada sahih atau tidak serta tindakan terhadap mereka yang mengaku 'bisa diatur' keputusan hakim.
"Judiciary? Sudah biasa buat laporan polis pun. Saya? Tunggu saja kalau ada penafian dan laporan polis terhadap pendedahan laporan risikan ini.
"Sekurang-kurangnya, PM boleh tanya AG betul ke pendapat Muhyiddin itu. Betul ke sudah ada 'kolusi' antara pemimpin politik dengan AG dan CJ?” soalnya.