IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diharap tidak melupakan golongan artis yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, golongan penggiat seni tanah air yang kurang berkemampuan wajar ditawarkan peluang untuk memiliki kediaman sendiri.
Menurutnya, baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membentangkan cadangan kepada jemaah menteri untuk mewujudkan semula program perumahan rakyat yang disubsidikan oleh kerajaan.
"Skim (perumahan) itu diberikan kepada pemohon secara sewa beli walaupun menyewa tapi akhirnya menjadi hak milik dalam tempoh tertentu.
"Saya harap apabila ada skim yang sebegitu, jangan dilupakan kelompok seniman, budayawan dan para artis," katanya selepas mengadakan Ziarah Kasih ke rumah seniman Ahmad Jamil Shuib di Rumah Pangsa Jalan Hospital, di sini pada Rabu.
Sementara itu mengenai Ziarah Kasih yang diadakan, Annuar berkata, program tersebut mengambil peluang bertanya khabar Ahmad Jamil, 68, yang kini menghidap strok ringan.
Menurutnya, Ahmad Jamil kini menyewa sebuah rumah sekeluarga di Rumah Pangsa Jalan Hospital, di sini dan tidak lagi bekerja.
Beliau berkata, pihaknya sedia membantu artis veteran yang popular dengan nama Sarjan Saji itu untuk membina rumah di atas tanah sendiri di Kuala Kangsar jika mendapat persetujuan ahli keluarga.
Dalam pada itu, isteri Ahmad Jamil, Noor Dabini Zainal Abidin, 44, berkata, suaminya menghidap penyakit itu pada penghujung tahun 2021.
Katanya, pendapatan mereka sekeluarga kini bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas Ahmad Jamil tidak lagi mendapat sebarang tawaran.