Biarlah anak-anak kecil meriahkan masjid

Iklan
Sikap prihatin kebanyakan masjid yang merindukan suara riuh kanak-kanak diterjemahkan dengan pelbagai inisiatif seperti menyediakan ruang jagaan kanak-kanak. - Foto 123rf

SEDAR tak sedar, umat Islam telah berada di pertengahan Ramadan. Hari-hari yang masih berbaki, terdapat masjid dan surau yang mengekalkan momentum dengan jumlah jemaah yang ramai seperti hari pertama puasa.

Namun, ada juga masjid atau surau yang semakin kurang makmumnya. Sebagai sesama insan, kita perlu bersangka baik kerana pastinya ada sebab jemaah tidak dapat terus bersama bersolat jemaah sama ada fardu atau tarawih di masjid atau surau.

Iklan
Iklan

Pujian harus diberikan kepada ibu bapa yang masih semangat membawa anak-anak kecil mengimarahkan rumah ALLAH, biarpun kadang kala jeritannya sedikit mengganggu jemaah. Namun, inilah realiti sifat kanak-kanak yang jujur dan tak pandai menyembunyikan perasaan.

Bayangkan, dua tahun kita hidup dalam pandemik Covid-19, bukan sahaja pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hilai tawa kanak-kanak tidak didengari di masjid dan surau dalam tempoh tersebut.

Iklan

Pada tahun ini, Ramadan menjadi lembaran baharu serta permulaan yang baik untuk terus menyantuni dan menyayangi kanak-kanak yang berusaha mendekatkan diri dengan masjid atau surau.

Sikap prihatin kebanyakan masjid yang merindukan suara riuh kanak-kanak diterjemahkan dengan pelbagai inisiatif seperti menyediakan ruang jagaan kanak-kanak. Malah, ada yang meletakkan sukarelawan memantau anak-anak kecil dan ruang bermain bagi memastikan rumah ibadat tersebut mesra kanak-kanak.

Iklan

Berbanding dahulu, kebanyakan pengurusan masjid atau surau kini sudah mengambil pendekatan menarik perhatian generasi muda terutama anak-anak kecil untuk datang ke masjid.

Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat jemaah yang kurang senang dengan telatah kanak-kanak kononnya menyebabkan mereka kurang khusyuk ketika bersolat kerana terganggu dengan suara riuh rendah di perkarangan masjid atau surau.

Sepatutnya, dari usia kecillah pentingnya ibu bapa mendidik dan menjadikan masjid atau surau sebagai rumah kedua. Bukan mudah tanggungjawab ibu bapa untuk menyemai sikap anak-anak suka dan teruja untuk kenal masjid, jika tidak dimulakan dari awal dan dan tanpa sokongan jemaah peringkat usia dan latar belakangnya.

Jangan menjeling dan mudah ambil hati apabila tangisan dan jeritan kanak-kanak lebih kuat daripada suara imam yang sedang membacakan ayat-ayat suci al-Quran.

Bahkan, di rumah ALLAH juga medan untuk kita menjadi hamba yang lebih sabar dan tidak mudah tersentuh hati dengan sikap kanak-kanak yang dipanggil ‘malaikat kecil'.

Sebagai ahli masyarakat juga tidak wajar cepat menghukum dan mengkritik masjid-masjid yang memberikan sagu hati atau hadiah kepada kanak-kanak yang istiqamah solat berjemaah. Sedangkan usaha yang dilihat kecil itu tidak mustahil akan suburkan rasa cintakan masjid dan surau di hati anak-anak yang tulus.

Dengan berbaki separuh Ramadan, moga amal ibadah kita bertambah dan kasih sayang kepada kanak-kanak juga meningkat dengan mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang lemah lembut pekertinya terutama kepada kanak-kanak.

Dalam situasi ini juga perlu diingatkan kepada ibu bapa agar sentiasalah mengajak anak-anak solat bersama di rumah secara tertib. Sekurang-kurangnya mereka tahu adab ketika solat terutama yang berumur empat hingga tujuh tahun.

Penulis juga ingin berpesan, di samping kita mengimarahkan rumah ALLAH, jangan pula lalai dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pastikan merekodkan kehadiran di masjid menerusi MySejahtera selain terus memakai pelitup muka dan jaga penjarakan walaupun sekarang sudah dibenarkan untuk rapat ketika solat.

Lebih penting, sekiranya mempunyai gejala seperti batuk atau selesema, tak perlulah hadir sehingga merisikokan jemaah yang lain.

Apa yang penting, masing-masing tahu akan tanggungjawab dan peranan dalam setiap apa yang dilakukan. Mudah-mudahan kita beroleh ganjaran istimewa sepanjang Ramadan ini.

* Nor Farhana Yaacob ialah Wartawan Sinar Harian