SHAH ALAM - Polis mengesan seorang pemilik akaun Twitter yang dipercayai memuat naik hantaran mendakwa seorang pekerja orang kurang upaya (OKU) dipukul gara-gara pelanggan enggan membuat bayaran atas kesilapan pekerja tersebut menghantar makanan di sebuah restoran.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hantaran Twitter berkenaan mendakwa kejadian berlaku di sebuah restoran di Bukit Jelutong pada Rabu.
"Hasil siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada pergaduhan yang menyebabkan individu berkenaan dipukul.
"Siasatan juga mendapati individu terlibat dalam pergaduhan tersebut ditugaskan untuk menjaga cawangan restoran berkenaan di kawasan lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, individu yang didakwa sebagai OKU tersebut turut membuat laporan polis menafikan dirinya dipukul.
"Individu yang berumur 31 tahun itu turut menafikan dakwaan sebagaimana tular menerusi hantaran di Twitter tersebut.
"Individu yang didakwa OKU ini juga menyatakan bahawa dirinya tidak mempunyai kad OKU dan telah bekerja di restoran berkenaan selama lapan tahun," katanya.
Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza Azeera ditalian 011-39865660 atau 03-55202222.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Pada Rabu, tular hantaran di media sosial yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter yang mendakwa seorang pekerja OKU dipukul gara-gara pelanggan enggan membuat bayaran atas kesilapan pekerja tersebut menghantar makanan di sebuah restoran terkenal di Bukit Jelutong di sini.