Tanpa wang, bagaimana hendak membayar kos persekolahan anak-anak dan menyediakan keperluan makan minum mereka.
Itulah yang dilalui penerima sumbangan daripada LBS Bina Group Berhad, Rena Ajmal Mohd Padzil, 47, yang mengakui hidupnya dilanda badai ketika mula bergelar ibu tunggal pada 2016.
"Ketika itu saya tidak mampu menyekolahkan anak-anak. Saya maklumkan kepada pihak sekolah dan mereka minta saya bersabar sementara pihak sekolah membantu untuk mengutip derma.
"Keluarga juga membantu dan sentiasa memberikan kata-kata semangat agar anak-anak saya terus ke sekolah walaupun hampir setiap hari mereka pergi tanpa duit belanja.
"Saya berdoa setiap hari dan alhamdulillah kemudiannya bantuan datang sedikit demi sedikit termasuk daripada ketua kampung, pihak masjid dan kawan-kawan," katanya yang mempunyai anak-anak berumur antara 10 hingga 16 tahun.
Program dengan kerjasama Sinar Harian itu turut dihadiri beberapa kakitangan pengurusan kedua-dua belah pihak yang disambut mesra Rena Ajmal dan anak-anaknya.
Utamakan pendidikan
Bercerita lanjut, Rena Ajmal mengakui kehidupan sebagai ibu tunggal tidak semudah yang disangka. Namun, dalam kepayahan itu dia tetap berazam mahu melihat kejayaan anak-anaknya pada masa depan.
Katanya, dia sentiasa meletakkan rasa tanggungjawab yang tinggi untuk memastikan anak-anaknya itu tidak tercicir dari segi pelajaran. Dia bersyukur kerana mereka terus membesar dan mengerti makna kesusahan.
"Saya mendepani cabaran sukar dalam membesarkan anak-anak ketika itu, semua pekerjaan saya lakukan termasuklah mengambil upah bawa budak sekolah guna kereta ayah.
"Dengan kegigihan saya, anak-anak tidak seorang pun berhenti sekolah malah saya sentiasa berpesan agar mereka terus belajar dan jangan tinggalkan ilmu agama kerana kedua-duanya sama penting," ujarnya.
"Saya mahu memastikan impian untuk melihat anak-anak dapat menamatkan persekolahan tercapai.
"Kami meneruskan hidup ketika ini dengan bantuan zakat berjumlah RM500 dan pendapatan sebagai pengasuh sebanyak RM400 sebulan. Dengan jumlah inilah saya membesarkan mereka.
"Impian saya agar anak-anak dapat mengutamakan pelajaran dan mampu tamatkan pengajian sekurang-kurangnya di peringkat sekolah menengah," katanya.
LBS laksana tanggungjawab
Sementara itu menurut Norazian, sumbangan yang dihulurkan LBS Bina Group Berhad kepada keluarga Rena Ajmal adalah satu tanggungjawab sosial (CSR) syarikat berkenaan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya, menerusi program Iftar Untukmu, ibu tunggal dan anak-anaknya itu menerima bantuan wang tunai, dibawa membeli-belah kelengkapan pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri serta diraikan pada majlis berbuka puasa di sebuah restoran.
Kata Norazian, mereka juga sedang rancak mengadakan Kempen Raikan Rezeki pada tahun ini dengan cara menjejaki golongan yang memerlukan dan ia tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan semata-mata.
"Kita perlu faham dan sedar tidak semua orang bernasib baik, jadi LBS tetapkan satu matlamat untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
"Kami juga akan cuba sejauh mana yang boleh kami lakukan untuk membantu," katanya.
Tambahnya, selain bantuan kepada komuniti, syarikat itu turut memberi fokus kepada tiga faktor lain seperti kesihatan, pendidikan serta persekitaran termasuk mengadakan beberapa siri program bagi mencapai objektif penganjurannya setiap tahun.