'Superman' dicekup malam Ramadan

Iklan
Empat penunggang motosikal yang ditahan polis selepas dikesan melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Lagak samseng jalanan empat penunggang motosikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur - Seremban, selepas makan malam mengundang padah apabila dicekup polis, pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 1.40 pagi membabitkan seorang remaja berusia 17 tahun.

Iklan
Iklan

"Remaja yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik itu dikesan melakukan aksi superman dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Siasatan mendapati remaja ini dalam perjalanan pulang ke Kajang, Selangor selepas makan malam di sebuah restoran terkenal di Seremban, Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, Ops Samseng Jalanan sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman ini turut menahan satu kumpulan penunggang motosikal terdiri daripada tiga lelaki berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun kira-kira jam 2.40 pagi.

Katanya, geng yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC itu dikesan melakukan aksi superman, zig-zag, bersaing sesama sendiri dan menundukkan badan.

Iklan

"Soal siasat geng ini dalam perjalanan pulang ke Ampang, Selangor selepas berbuka puasa di Umbai, Melaka dan makan malam di Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Tegasnya, kesemua tangkapan masing-masing telah dibawa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan BSPT IPD Seremban untuk disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kesemua motosikal terbabit turut disita untuk tindakan lanjut," katanya.