IPOH - Pemuda Pas Perak menerusi Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) akan membantu menggerakkan kempen sumbangan RM1 seorang melalui tabung khas di bawah seliaan Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs).
Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap usaha Perak FC TBG Mobs yang menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.
Menurutnya, sokongan itu sebagai tanda solidariti terhadap pasukan Perak FC yang sedang bersaing di dalam Liga Perdana.
"Kita amat berbangga pasukan bola sepak Perak FC terus menunjukkan kesungguhan bersaing dalam Liga Perdana pada tahun ini walaupun dalam masa yang sama terpaksa menempuhi tempoh yang sukar ketika ini.
"Atas semangat kesukanan yang tinggi dan kebersamaan dengan pasukan kesayangan kita, Perak FC khususnya melibatkan kebajikan pemain, jurulatih, pengurus pasukan dan pihak yang berkaitan, moh kome, kita sama-sama membantu agar mereka juga dapat bersama meraikan kegembiraan Syawal nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hafez berkata, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun bank CIMB 8602530260 atas nama Persatuan Penyokong Bolasepak Perak.
Pada 18 April lalu, Perak FC TBG Mobs menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.
Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim berkata, jumlah itu mampu dicapai sekiranya setiap rakyat di negeri ini menderma RM1 seorang dalam tempoh empat hari sehingga Khamis.