PUTRAJAYA - Sebanyak 22 jenis barangan akan ditetapkan harga maksimum semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (HRP) 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, HRP 2022 ini akan berkuat kuasa pada 26 April sehingga 6 Mei 2022 iaitu tujuh hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan.
Menurutnya, ia sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan.
Selain itu tambahnya, penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam juga sedang berkuat kuasa sehingga 5 Jun 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
"Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam serta HRP 2022 adalah melibatkan 28 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering, sayuran dan daging,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Nanta Linggi menambah, bagi negeri-negeri, penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga.
"Khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi oleh harga daripada negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” jelasnya.
Tegasnya, anggota penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga di pasaran adalah berpatutan dan seterusnya memastikan keberadaan bekalan di pasaran,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan peniaga, bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pemantauan harga tiket bas, Nanta Linggi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan mengenai perkara terbabit.
"Memang kita bersedia untuk bersama Kementerian Pengangkutan dalam hal pemantauan tiket bas ini,” katanya.