SYARIKAT KMDI Harta Berhad menyasarkan peningkatan modal operasi kepada RM400 juta bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik dan komersial, perlombongan sumber mineral, ladang kenaf, pembinaan serta pengeksportan bahan mentah.
Oleh itu, pihak tersebut melantik syarikat Citadel Trustee Berhad sebagai pemegang amanah yang berperanan sebagai pengumpul dana bagi tujuan tersebut.
Pengarah Urusan KMDI Harta Berhad, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, pihaknya akan turut melantik Penasihat Syariah untuk memperkemaskan memorandum informasi yang kemudiannya dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam masa terdekat.
Pada masa sama, pihaknya berkata akan menerbitkan saham syarikat dalam masa terdekat.
"KMDI turut bekerjasama dengan Kerajaan Pahang untuk perumahan dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dengan menggunakan teknologi tercanggih di Malaysia dalam sektor perlombangan mineral untuk ladang kenaf dan kilang IBS.
"KMDI mempunyai banyak projek pembangunan di Malaysia, oleh itu kita memerlukan dana yang lebih besar untuk tujuan demikian," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Surat Perlantikan Pemegang Amanah di Hotel Wyndham Acmar Klang, di sini pada Rabu.
Majlis menandatangani Surat Perlantikan Pemegang Amanah yang disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan KMDI, Datuk Sri Zailan Abd Ghapar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Citadel Trustee Berhad, Amir Mokhtar turut menjelaskan peranan pemegang amanah dalam mengendalikan dana daripada pihak-pihak lain yang ingin melabur kepada syarikat KMDI.
Ujarnya, mana-mana syarikat yang ingin mengumpul dana harus melantik sebuah syarikat amanah bagi tujuan tersebut.
"Mana-mana pihak yang ingin melabur kepada syarikat lain tidak boleh memasukkan dana terus ke dalam akaun bank pihak itu. Jadi, pemegang amanah dilantik untuk mengendalikan kemasukan wang tersebut.
"Dalam perjanjian yang dimeterai, mana-mana pihak pemegang amanah yang ingin menamatkan pelantikan ini perlu memberi notis penamatan.
"Jadi, pelantikan ini kekal selagi mereka tidak menghantar notis penamatan," katanya.