14,306 kuota haji untuk rakyat Malaysia tahun ini

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Malaysia membenarkan seramai 14,306 rakyat Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600.

Iklan
Iklan

"Peratusan yang sama juga (45 peratus) adalah terpakai buat semua negara lain,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook miliknya pada Khamis.

Dalam pada masa yang sama, menurutnya, kerajaan Arab Saudi juga telah menetapkan bahawa 85 peratus dari satu juta itu adalah merupakan jemaah luar.

Iklan

"Seramai satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini atau 40 peratus daripada jumlah 2.5 juta pada tahun 2019.

"Ini adalah lebih tinggi dari tahun 2019 di mana jemaah dari luar Arab Saudi adalah hanya 75 peratus,” ujarnya.

Iklan

Katanya, pada tahun ini, jemaah haji yang dibenarkan adalah berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

"Ia adalah disebabkan penilaian dan juga langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau berkata, Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah haji dalam masa terdekat.

"Bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera dan mereka juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan terutamanya pasport.

"Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal dan vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan,” jelasnya.

Tambahnya, TH kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

"Saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Tabung Haji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia.

"Saya memohon jasa baik semua bakal jemaah haji untuk membuat persediaan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan.

"Pihak TH akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah,” katanya.