Kunjungan Agong, Permaisuri ke bazar Ramadan tarik perhatian ramai

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke bazar Ramadan Satok pada Khamis.

KUCHING - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan berangkat ke bazar Ramadan Satok di sini.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke bazar berkenaan pada jam 3.30 petang itu diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan
Iklan

Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu juga menjadi tumpuan pengunjung serta orang ramai yang hadir ke bazar berkenaan.

Iklan

Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain beramah mesra bersama peniaga.

Peniaga air, Afiezul Samit, 25, berkata, beliau tidak menyangka Al-Sultan Abdullah berkenan ke gerainya untuk membeli Air batu campur (ABC) yang dijualnya.

Iklan

"Saya tidak sangka Tuanku (Al-Sultan Abdullah) singgah dan beli ABC saya. Tuanku tertarik dengan air pelbagai jenis dan warna yang saya jual,” katanya.

Seri Paduka berdua yang dalam lawatan dua hari ke Sarawak bermula Khamis, dijangka menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam di Masjid Jamek Negeri di sini malam Khamis. - Bernama