Mekanisme kawalan harga perlu bersifat 'menang-menang'

Iklan
Nurul Izzah - FOTO ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Mekanisme kawalan harga barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu bersifat ‘menang-menang’ di setiap rantaian bekalan merangkumi keperluan penternak di peringkat ladang, pemborong dan peniaga.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, ini kerana kawalan harga yang dilaksanakan tanpa perbincangan dan libat urus setiap pemegang taruh akan membebankan golongan peringkat akhir rantaian bekalan seperti pemborong serta peniaga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ramai peniaga ayam menzahirkan kesukaran mematuhi harga siling memandangkan harga yang diterima daripada pemborong telah mencecah RM8.90 dan ia memaksa peniaga mengenakan caj upah potong ayam standard bagi mengelakkan kerugian.

"Persoalannya, mengapakah subsidi buat penternak dan pembukaan permit import ayam bulat oleh kerajaan kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) masih tidak menstabilkan harga ayam di pasaran?

Iklan

"Jelas bahawa sebuah mekanisme bagi menyekat kegiatan dan manipulasi orang tengah yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam sebelum sampai ke pemborong dan peniaga perlu diperkenal.

"Perlu diingat, bila mekanisme subsidi jangka pendek yang diperkenal kerajaan tidak memadai, yang berlaku adalah pengenalan caj upah potong ayam kerana jualan ayam tidak membawa keuntungan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, komitmen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi pengenalan dedak alternatif menggunakan isirong sawit perlu disegerakan.

Jelasnya, ia demi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan bahan-bahan import dedak ayam dalam jangka masa panjang.

"Perkembangan usaha formulasi ini didokong dan harus disegerakan memandangkan trend peningkatan harga barang bersifat sistemik sekian lama.

"Solusi hasil penyelidikan MARDI ini dinantikan oleh penternak supaya bebanan yang mereka tanggung menerusi kos dedak yang meningkat mampu diringankan sekali gus memastikan rantaian bekalan negara terjamin,” katanya.

Oleh itu, menurut Nurul Izzah, isu sekuriti dan kedaulatan makanan negara akan terus kekal relevan namun harus bermula dengan langkah konkrit.

"Kerajaan wajar mendengar luahan dari setiap segmen rantaian serta menawarkan solusi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang yang bersifat ‘menang-menang’ dan holistik.

"Bimbang saya, solusi bersifat tangkap muat berkemungkinan menjejaskan periuk nasi segmen yang sebenarnya sebahagian daripada rantaian sekuriti makanan negara,” ujarnya.