SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis telah mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil media bagi membincangkan berkenaan pelaksanaan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 yang dijadual diadakan di Melaka pada 29 Mei 2022.
Menurut kenyataan, beliau juga bersetuju untuk merasmikan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia menerusi sambutan Hawana itu yang sebelum ini pertama kali diadakan pada 2018.
Wakil media diketuai Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI), Datuk Mokhtar Hussain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin; Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Abdul Wahab; Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail.
"Sambutan Hawana adalah bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939,” kata kenyataan pada Khamis.
ISWAMI dan Bernama akan menjadi penggerak utama pelaksanaan program itu yang turut melibatkan agensi, pertubuhan serta pengamal media yang lain.
"Bersempena Hawana, ISWAMI Malaysia juga akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, untuk turut hadir pada program berkenaan,” ujarnya.
ISWAMI juga merancang untuk mengundang 20 editor muda dari pelbagai agensi media di Indonesia pada program lawatan muhibbah pada Jun 2022.
Menurut kenyataan, ia sebagai usaha mengukuhkan lagi kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia, selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.